Selamat Mengulangkaji Kepada Semua Murid Tingkatan 3 dan 5 yang bakal menghadapi PT3 dan SPM 2015! Fokus dan jangan tinggal solat .

PARENTING

Solat agenda utama dalam proses mendidik anak



Setiap ibu bapa mesti gembira apabila mendapat rezeki berupa anak. Allah menceritakan dalam al-Quran bagaimana Nabi Ibrahim apabila diberi khabar oleh malaikat bahawa Allah akan mengurniakan seorang anak lelaki, baginda menyatakan kegembiraannya dengan mengucapkan selamat sejahtera. Hal ini seperti firman Allah bermaksud: “Dan sesungguhnya telah datang utusan Kami kepada (Nabi) Ibrahim dengan membawa khabar gembira, sambil mereka berkata: “Selamatlah!” Dia menjawab: “Selamat!” (Surah Hud, ayat 69)

Kegembiraan ini mestilah disyukuri dengan menyiapkan diri dan berusaha untuk menjadi ibu bapa yang berjaya mendidik anak yang taat dan mendapat keredaan Allah. Tugas ini bukan sesuatu yang mudah dan ia menuntut pengorbanan besar.

Rasulullah saw pernah bersabda bermaksud: “Setiap anak dilahirkan secara fitrah, kedua-dua ibu bapanya yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Antara pengorbanan ibu bapa adalah sentiasa menimba ilmu keibubapaan, tidak kira pada peringkat mana umur anak-anak. Ilmu sangat penting demi menjamin tarbiah anak dan kesejahteraan keluarga. Ilmu dapat membantu ibu bapa untuk lebih peka kepada tahap usia mereka. Ia juga kaedah paling berkesan dalam pendidikan dan menangani masalah anak-anak. Mendalami ilmu memerlukan pengorbanan masa, tenaga dan wang ringgit yang bukan sedikit.

Sejak dalam kandungan, ibu bapa banyak berkorban dengan menjaga akhlak. Ibu mendapat makanan berkhasiat serta sentiasa berdoa kepada Allah supaya anak dalam kandungan sihat dan menjadi anak soleh. Ayat suci al-Quran dibaca supaya mereka sentiasa mendengar kalimah Allah sejak dalam kandungan lagi.

Proses kelahiran dan menyusukan adalah pengorbanan yang tidak terhingga oleh seorang ibu.

Ibu bapa berkewajipan memenuhi keperluan anak, baik berupa kebendaan mahupun kerohanian. Ibu bapa tidak boleh mengabaikan tanggungjawab ini. Dalam hal ini Rasulullah bersabda bermaksud: “Seseorang telah cukup dikatakan berbuat dosa, apabila mensia-siakan orang yang menjadi tanggungan makan minumnya.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Hari ini selain bapa, ramai ibu yang keluar bekerja demi memenuhi tuntutan ini. Bukan sedikit pengorbanan yang perlu dilakukan demi mendapat rezeki halal. Dalam kesibukan mencari rezeki, ibu bapa tidak boleh memberi alasan membiarkan pendidikan agama dan rohani anak.

Institusi sokongan seperti pusat asuhan kanak-kanak (taska), pusat jagaan harian, taman didikan kanak-kanak (tadika), sekolah, pusat pengajian al-Quran dan fardu ain adalah perkongsian pintar dalam mencapai matlamat pendidikan anak-anak.

Ibu bapa perlu bijak dalam memilih institusi untuk menghantar anak mereka. Pilihlah institusi yang menitikberatkan agama, terutama solat kerana cara yang paling tepat mendidik anak-anak mengenal Allah adalah dengan melatih mereka mengerjakan sembahyang.

Pentingnya solat sebagai jalan untuk menjadikan manusia tunduk kepada Allah, maka Nabi Ibrahim memohon kepada Allah agar diri dan keturunannya dijadikan sebagai orang yang tetap menegakkan solat. Hal ini dirakamkan dalam firman Allah bermaksud: “Wahai tuhanku, jadikanlah aku orang yang mendirikan solat dan (begitu juga) anak cucuku, wahai tuhan kami, terimalah doaku.”(Surah Ibrahim, ayat 40)

Begitu juga, bijaksana Islam terkenal, Luqman Al-Hakim, salah satu wasiat kepada anak seperti disebut dalam al-Quran bermaksud: “Hai anakku, dirikanlah solat...” (Surah Luqman, ayat 17)

Dengan ini sewajarnya ibu bapa menjadikan solat sebagai pilihan utama untuk mendidik anak berakidah tauhid. Mereka mestilah terlebih dulu mendirikan solat dan sentiasa berbincang serta meneruskan kesinambungan pentarbiahan anak di rumah. Mereka tidak seharusnya menyerahkan tugas ini seratus peratus kepada pengasuh atau guru saja.

Anak hendaklah dilayan dengan penuh kasih sayang. Untuk itu, ibu bapa mesti terlebih dulu membaiki akhlak supaya anak sentiasa dilihatkan dengan pekerti mulia. Insya-Allah mereka akan terdorong untuk mencontohi ibu bapa berakhlak mulia.

Rasulullah bersabda bermaksud: “Allah memberi rahmat kepada ayah yang membantu anaknya untuk berbakti kepada-Nya.” (Hadis riwayat Abu Shaikh)

Dalam hal ini, Allah memberi petunjuk supaya ibu bapa tidak mudah marah dan hendaklah gemar memaafkan kekeliruan anak mereka. Firman Allah bermaksud: “Dan orang yang menahan marah serta memaafkan orang lain dan Allah mencintai orang yang berlaku baik.” (Surah Ali Imran, ayat 134)

Proses pentarbiahan anak mengambil masa panjang dan tentu menuntut ibu bapa untuk istiqamah dalam apa juga bentuk pengorbanan yang dilakukan, di samping terus berdoa untuk kesejahteraan mereka.

Firman Allah bermaksud: “Wahai tuhan kami, anugerahkan kepada kami daripada isteri dan keturunan kami perkara yang menyenangkan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam bagi orang yang bertakwa.” (Surah al-Furqan, ayat 74)

Setiap pengorbanan juga menuntut kita supaya melakukan perubahan bermula dengan diri sendiri setiap hari. Sebagai ibu bapa, kita mestilah sentiasa berusaha untuk menjadi contoh kepada anak. Ia adalah kunci kejayaan dalam melahirkan anak yang soleh wa musleh.


Kemahiran keibubapaan panduan didik cahaya mata 

Nabi Muhammad saw mendidik seseorang pada zamannya dengan banyak mengguna dan mengutamakan pendekatan lemah lembut dan penuh dengan kasih-sayang. Antara langkah atau tahap mengajar, sebelum memukul adalah:
· Beritahu dan sebutkan secara terus terang perkara yang dibuat itu salah.
· Tunjukkan cara yang betul.
· Memujuk dengan cara lemah lembut dan berhikmah atau kreatif.
· Menggunakan isyarat.
· Mencela keburukan perangai (bukan kekurangan diri untuk tujuan menghina dirinya).
· Memulau atau tidak mempedulikannya dalam jangka waktu tertentu.Pilihan terakhir adalah memukul atau merotan. Tindakan ini diambil selepas kaedah di atas tidak berkesan. Menghukum dengan memukul atau merotan mesti menggunakan kaedah atau cara pukul yang diizinkan dalam Islam. Antara kaedah memukul yang diizinkan oleh Islam adalah:
· Memukul atau merotan hanya dibenarkan kepada anak yang berumur 10 tahun ke atas. Sabda Rasulullah bermaksud: “Suruhlah anak-anak kamu mendirikan solat ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah jika mereka enggan apabila berumur 10 tahun.” Ada tempat yang haram dipukul, umpamanya muka dan pula bahagian yang sensitif dan boleh mencederakan seseorang.
· Guru atau ibu bapa membetulkan niat memukul semata-mata untuk mendidik dan membetulkan keadaan atau sifat tercela, bukan untuk mendera atau melepaskan perasaan geram dan marah.
· Jika dalam keadaan marah dan panas, ambil langkah untuk meredakan perasaan marah dulu, dengan mengubah posisi diri. Contohnya, bagi yang sedang berdiri hendaklah duduk dulu atau yang sedang duduk perlu berdiri atau baring. Atau keluar dari bilik atau bilik darjah sebentar. Ambil wuduk, solat sunat, kemudian baru pukul dengan membaca doa dan selawat (untuk kesejahteraan anak) dan memukul dengan nama Allah. Pakar psikiatri dari Hospital Kota Bharu, Kelantan, Dr Khairi Che Mat dalam kajian fisiologi rangsangan saraf ke otak menunjukkan bahawa keputusan dan tindakan ketika marah adalah tidak rasional. Selalunya adalah sembrono dan lebih memudaratkan perasaan dan mental anak-anak.
· Jangan sekali-kali meninggalkan konsep ‘mendidik’. Pesan Rasulullah: “Hendaklah kamu mengajarkan mereka dan jangan berkeras. Sesungguhnya orang yang mengajar itu lebih baik daripada orang yang berkeras.”Dr Khairi juga menasihatkan agar ibu bapa/guru supaya memberikan maklum balas kepada setiap perbuatan anak sama ada betul atau salah.Jika perbuatan mereka betul, berikan dia ‘pengukuhan positif’ dalam bentuk pujian atau ganjaran. Jika salah, berikan ‘pengukuhan negatif’, seperti teguran atau hukuman. Jangan sampai, anak kita kata, ‘apa yang saya buat selama ini, semuanya salah’. Sebelum ini kita tidak pernah iktiraf atau memberi perakuan terhadap perbuatannya yang betul. Sebaliknya, kita hanya menegurnya jika perbuatannya salah. Jika keadaan ini (hanya menegur ketika salah laku) berterusan, anak-anak akan suka membuat perbuatan salah.Merotan walaupun cara terakhir dalam mendisiplinkan pelajar, kesan negatifnya pasti ada. Hampir semua ibu bapa akan malu, tercabar, geram atau marah apabila anak dihukum dan diperkatakan di hadapan orang lain. Ibu bapa, yang paling hampir dengan anak. Oleh itu, kitalah orang pertama yang perlu berasa bersalah. Bagaimanapun, tanggungjawab mencorak masa depan anak memang tidak terletak di tangan ibu bapa semata-mata. Pengaruh luar sama ada positif atau negatif tetap memainkan peranan besar. Ada antaranya tidak dapat ditangani, lalu memberi kesan buruk berpanjangan dalam kehidupan. Biar apapun alasannya, orang dewasa yang sebenarnya lebih banyak menentukan sama ada anak itu hanya perlu dibelai atau mesti dipukul bagi memenuhi tanggungjawab atau mendisiplinkannya.Jika diberi pilihan, pasti tiada ibu bapa normal, ingin memukul anaknya, apatah lagi membenarkan orang lain melakukannya. Faktor ‘kecerdikan emosi’ ibu bapa dan pendidik perlu diasah selalu:
· Fitrah manusia berasa perlu dilindungi dan dikasihi untuk ketenangan akal fikiran dan jiwa. Demikian juga anak-anak, mereka memerlukan keprihatinan orang dewasa dalam setiap kegiatan kehidupan. Oleh itu, ibu bapa atau guru perlu mengemas kini pengetahuan dalam mendidik dan memanfaatkan bidang ilmu terkini dalam pendidikan anak.
· Anak-anak perlukan peribadi contoh atau ‘role model’ untuk diikuti. Ibu bapa adalah peribadi terhampir dengan mereka, yang boleh menampakkan usaha, kesusahan dan pencapaian kepada anak. Pada masa sama datangkan padanya model terunggul untuk diikuti iaitu Rasulullah. Sampaikan kisah kehidupan Baginda yang telah diterima Timur dan Barat sebagai pemimpin, suami, bapa dan datuk terbaik.Bagindalah yang membentuk dan membelai cucunya, Hassan dan Hussin hingga terpahat menjadi teladan, sesuai dengan sabda Baginda bermaksud: “Hendaklah engkau berlaku lemah-lembut dan jauhkanlah daripada berkasar dan berkeras (perkataan dan perbuatan).”
· Menghormati keperluan, kehendak dan perasaan anak adalah satu tanggungjawab. Namun, setiap kita mesti tahu membezakan antara keperluan dengan kehendak. Keperluan mesti dipenuhi, namun kehendak tiada batasnya kerana ‘kehendak’ lebih berasaskan kepada nafsu. Kehendak dan kerenah perlu diubah suai supaya boleh menjadi bimbingan.
· Ibu bapa hendaklah menerima anak-anak seadanya tanpa syarat, dengan segala kebaikan dan keburukannya, kebolehan dan kekurangannya. Ibu bapa juga mesti belajar menerima dan mengiktiraf perasaan dan pandangan anak walaupun ia bercanggah dengan pandangan mereka.Jangan sekali terlalai untuk memberi pujian dan menghargai perlakuan baik anak kerana itu akan menjadi insentif nombor satu dan ingatan bermakna, meskipun tanpa hadiah yang dinilai dengan wang ringgit.
· Pasti ada kalanya anak melakukan kesilapan. Ambillah kesilapan sebagai pengajaran dan permulaan menuju kejayaan. Sentiasa ingatkan diri bahawa Islam tidak menggalakkan kekerasan. Dalam mendidik atau menasihati anak, ibu bapa disuruh menggunakan cara yang lembut dan ringan terlebih dulu dan beransur-ansur bertukar kepada yang lebih berat sekiranya tiada perubahan. Perlu diingat bahawa ibu bapa adalah orang yang paling tahan ujian, sabar dan bertawakal kepada Allah ketika mendidik, apatah apabila mengalami kegagalan dalam membentuk anak yang diharap-harapkan.
· Memahami perkembangan emosi anak. Anak-anak menunjukkan pelbagai ragam yang sebahagiannya menggugat kesabaran. Emosi negatif anak mesti ditangani dan dibelai dengan ilmu. Usaha berterusan perlu untuk menjauhkan mereka daripada terus terbawa-bawa tingkah laku demikian hingga besar dan mempengaruhi sikap mereka. Kepincangan dalam perkembangan emosi boleh menjejaskan perkembangan kanak-kanak secara keseluruhan, terutama dari segi mental.Apabila mental mereka terjejas, punahlah harapan ibu bapa untuk menatang anak cergas yang berjaya.


LAGI TIPS PARENTING

Bagaimana mahu melahirkan anak-anak berakhlak jika di sekolah para guru tidak bermoral?


“jika baran dan marah sekalipun, tolong jangan keluarkan perkataan-perkataan celupar seperti bodoh, bengap atau  dungu kepada anak murid, kerana kata-kata guru seperti emak, sebahagian daripada doa.”


Sabda nabi saw, “Berguraulah dengan anak kamu kala usianya satu hingga tujuh tahun. Berseronok dengan mereka, bergurau hingga naik atas belakang pun tak apa. Jika suka geletek, kejar atau usik anak asalkan hubungan  rapat. Lepas tujuh hingga 14 tahun kita didik dan ajar, kalau salah pukul.”


“Jika dia bijak dan menang dalam sebarang pertandingan sekolah, ucapkan tahniah. Tidak salah kita cium atau peluk mereka sebagai tanda  penghargaan . Kala umur mereka 14 hingga 21 tahun jadikan kawan. Tetapi  selalunya usia beginilah ibu bapa mula renggangkan hubungan dan ini menyebabkan anak derhaka.”


Turut dijelaskan di sini, anak-anak harus dilatih sembahyang  jemaah bersama, latih cium tangan dan peluk penuh kasih dan sayang, maka mereka tidak akan tergamak menderhaka.


“Saya pernah tinjau, anak-anak yang lari daripada rumah, berpunca daripada rasa bosan. Belum sempat letak beg sekolah, ibu dah suruh macam-macam. Si anak rasa tertekan dan menyampah dengan persekitaran dan rumah  tangga. Boleh disuruh tetapi berikan hak mereka di rumah. Yang penting dia balik  ke  rumah suka, dan pergi sekolah pun seronok.


“Mungkin ibu bapa punya alasan tidak rapat dengan anak-anak kerana sibuk. Kita boleh cuba cara lain, balik di tengah malam, anak-anak sudah tidur, pergi bilik dan cium dahinya. Hubungan rohani tetap subur, walaupun anak tidur tetapi jiwanya sentiasa hidup."